THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Monday, July 13, 2009

Sistem pendidikan negara terus diiktiraf

Keputusan Australia memilih Malaysia sebagai tuan rumah bagi kursus perguruan untuk 30 pelatih guru dari Afghanistan membuktikan sistem pendidikan negara ini diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sistem pendidikan negara terbukti berkesan khususnya dalam bidang pendidikan Islam, menjadikan Malaysia amat sesuai sebagai tuan rumah para peserta tersebut.
''Kita ada sistem pendidikan yang baik terutama dalam bidang pendidikan Islam, pensyarah yang mahir pelbagai bahasa serta dilengkapi kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap.
''Itulah kelebihan (pendidikan) kita dan kerana itu juga Australia kenal pasti Malaysia sebagai rakan untuk membantu membangunkan Afghanistan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Luar Australia, Stephen Smith yang meninjau perjalanan kursus itu di Institut Perguruan Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA) di sini semalam.
Kursus yang bermula pada 29 Jun lalu itu dikenali sebagai Projek Pendidikan Malaysia-Australia buat Afghanistan (MAEPA) dengan Malaysia sebagai tuan rumah, sementara Australia pula menanggung segala kos perjalanan para peserta.
Ia merupakan perjanjian di antara kedua-dua negara susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd ke atas Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini pada 10 Julai tahun lalu.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara pula telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai oleh pihak berkuasa di sana sebagai panduan mereka.
''Kita juga pernah melatih lebih 100 guru dari Aceh (Indonesia), itulah bukti komitmen Malaysia kepada dunia," ujarnya.
Salah seorang peserta, Khalilurahman Ruhyab, 31, memberitahu, sistem pendidikan Malaysia sangat komprehensif dan beliau yakin dapat menimba pengalaman berguna sepanjang kursus tersebut.
''Pendidikan di negara anda sangat unggul kerana terdapat sekolah aliran berbeza buat kaum Melayu, Cina dan India.
''Sekembali ke Afghanistan nanti, saya akan panjangkan ilmu ini kepada guru-guru lain," jelasnya yang bertugas di Kabul.
Bagi memastikan kursus itu terus mendapat manfaat di Afghanistan, Ka Siong memberitahu, Malaysia akan menghantar dua pemerhati ke sana selama sebulan di samping mengiringi kepulangan para peserta berkenaan.

0 comments: